Sunday, November 23, 2008

MAHASISWA PEMBELA NEGARA


“bagi kita, zaman tolak ansur sudah mati! Sudah kita kuburkan bersama sama keranda jingga yang berbalut dengan segala janji dan kepalsuan manusia”
Noordin Razak

Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Sejarah membuktikan keperkasaan, keaktifan dan sifat progresif gerakan mahasiswa telah membuahkan hasil yang cukup lumayan bagi sesebuah negara pada masa depan. Mahasiswa dilihat pendokong utama ke arah reformasi masyarakat melalui revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan dalam pentadbiran negara. Sebagai anak muda yang mempunyai sifat kreatif, jiwa memberontak dan bersifat tergesa-gesa akan membentuk keperibadian mahasiswa yang menongkah arus dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengubah sistem yang bobrak dan korup. Mahasiswa pengubah sistem. Itulah mitos mahasiswa dalam perjuangan mereka dan khayalan ini akan disedarkan selepas mereka keluar dari alam kampus.

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah wadah pinggiran dalam perjuangan sosial, politik dan dakwah seantero dunia. Di Afghanistan, mahasiswa Islam telah menewaskan golongan Sosialis dalam pilihanraya kampus dan mempelopori penubuhan pasukan pejuang Mujahidin melawan Rusia. Ketua Ikhwanul Muslimin Afghanistan, Ahmad Niazi dan mahasiswa Islam Universiti Kabul mula mengerakkan kelompok pelajar Islam yang dikenali Juanan Muslim (kemudian dikenali Jamiyyah al Islamiyyah) pada tahun 1969. Pada tahun 1972, kelompok pelajar Islam berjaya menguasai kerusi di Dewan Mahasiswa Universiti Kabul dan ia telah menakutkan pendokong Komunis dan Sosialis di Afghanistan. Pada tahun 1975, Mohamad Daud mempenjarakan Ahmad Niazi dan tindakan kejam rejim ini menyebabkan ramai pemimpin pelajar termasuk Rabbani dan dan Sayyaf melarikan diri ke Pakistan. Di Mesir pula, mahasiswa Ikhwanul Muslimin telah berjaya mengalahkan golongan nasionalis di Universiti Fuad I.

Di Malaysia, kebangkitan mahasiswa Islamis berputik pada awal tahun 1970an tetapi mula mengancam survival politik golongan nasionalis pada awal 1980an. Bermula awal tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik kampus di hampir setiap universiti di Malaysia. Walaupun disekat dengan pelbagai formula, GMI di Malaysia terus meredah ranjau perjuangan semampu yang terdaya. Di sini, penulis menukilkan sejarah awal perjuangan mahasiswa Islamis di kampus untuk memasyarakatkan masyarakat kampus dengan suluhan Islam. Penulis juga memaparkan pengolakkan antara proksi GMI dan kebangkitan dinasti kepimpinan ulama dalam politik kampus.

No comments: