Sidang Jumaat rahimakumullaah,
Di dalam sebuah rumah di Madinah, Umar al-Khattab radhiyallaahu 'anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat.
Beliau berkata kepada mereka, "nyatakan harapan kamu!".
Salah seorang daripada mereka berkata, "impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad".
Kemudian Umar berkata lagi, "nyatakan harapan kamu!".
Seorang lagi sahabat berkata, "impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah".
Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, "nyatakan harapan kamu!".
Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, "kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu'minin".
Lalu Umar berkata, "harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!".
Benar.
Semoga Allah mencucurkan redha dan rahmat-Nya kepada Umar. Beliau sesungguhnya tahu apakah sebenarnya tunggak sebuah tamadun, bagaimana misi yang besar boleh berjaya dan bagaimanakah ummah yang mati boleh dibangkitkan semula.
Walaupun sebuah negara dengan wawasannya memerlukan sumber untuk berjaya, mereka terlebih dahulu memerlukan manusia yang merancang dan menguruskan sumber-sumber itu. Malah di antara segala keperluan sebuah negara, keperluan tertinggi ialah pada lelaki-lelaki sejati, tunggak ummah berdiri.
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya lelaki-lelaki tulen itu amat sukar untuk dicari, sebagaimana sukarnya mencari intan dan permata. Kerana itu, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam pernah bersabda:
"Lelaki berkualiti seperti unta hanya satu dalyang mampu menanggung beban yang berat untuk perjalanan yang panjang, kamu sukar untuk menemuinya sebagai satu dalam seratus" [Hadith riwayat al-Bukhari]
Sejarah membuktikannya.
Catatan-catatan hebat di sepanjang sejarah itu berlaku bukan ketika umat bertemu permata berharga yang tidak pernah ditemui sebelumnya. Tetapi umat akan mencapai kegemilangan seiringian dengan kemunculan manusia-manusia hebat seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih pembebas Constantinople.
Impian Umar al-Khattab itu adalah sebenar-benar impian yang juga diimpikan oleh lelaki tulen yang hebat sepertinya.
Sidang Jamaah rahimakumullaah,
Lelaki tulen yang bagaimanakah yang kita impikan?
Apakah yang bermisai lintang atau muka dihias jambang?
Pelanggan tongkat ali atau penagih kopi keras malam dan siang?
Jika itulah ukuran ketulenan seorang lelaki, kita sudah memiliki cukup ramai lelaki yang sedemikian itu.
Sesungguhnya kehebatan seorang lelaki, tidaklah ditentukan oleh usia. Di sana terdapat ramai sahaja lelaki yang berusia 60 tahun tetapi memiliki jiwa dan pemikiran berusia 6 tahun. Mereka ini masih tenggelam dalam keseronokan dan hal-hal yang tidak bermakna dalam hidup ini. Sebagaimana mereka begitu mudah dirangsang keseronokan, begitu jugalah mereka ini begitu mudah dikalahkan oleh ujian. Sedikit cubaan hidup menumbangkan kekuatan dirinya.
Mereka ini tidak lebih daripada sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap di dalam tubuh manusia dewsa.
Sedangkan di satu sudut yang lain, kita bertemu dengan orang muda yang kata-katanya, tingkah lakunya dan pemikirannya menyerlahkan kematangan dan kejantanan hakiki.
Di dalam satu peristiwa, Umar al-Khattab radhiyallaahu 'anhu telah lalu berdekatan dengan sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang bermain. Mereka bertempiaran lari semasa melihat kelibat Umar kecuali seorang iaitu Abdullah Ibn al-Zubayr radhiyallaahu 'anhu.
Lalu Umar bertanya kepadanya, "mengapakah kamu tidak lari bersama kawan-kawanmu? "
Beliau berkata, "Wahai Amir al-Mu'minin, aku tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk aku takut kepadamu dan jalan ini juga tidak sempit. Ruang yang ada cukup untuk engkau lalu!".
Begitu juga di dalam suatu peristiwa, seorang anak remaja masuk ke istana mengadap salah seorang Khalifah Bani Umayyah, untuk bercakap mewakili kaum kabilahnya.
Khalifah berkata, "carikan lelaki yang lebih dewasa untuk mewakili kaummu!"
Budak lelaki itu berkata, "wahai Amir al-Mu'minin, seandainya kepimpinan ditentukan oleh faktor usia, maka di sana ada lebih ramai orang lain yang layak menjadi Khalifah selain engkau."
Ini adalah sebahagian daripada catatan sejarah yang memaparkan tentang kualiti jati diri dan kejantanan sebenar yang ditonjolkan oleh manusia yang hebat biar pun pada usia yang masih muda.
Sesungguhnya ketokohan seseorang itu tidak pernah ditentukan semata-mata oleh tubuh yang besar dan sasa.
Allah SWT mengungkapkan tentang perspektif orang-orang Munafiq di dalam firman-Nya:
"Apabila engkau melihat mereka, engkau akan berasa takjub dengan penampilan tubuh badan mereka" [al-Munafiqun : 4]
Abdullah ibn Ubai ibn Salul, ketua kaum Munafiq ini mempunyai tubuh badan yang hebat dan berpakaian dengan pakaian yang mengagumkan. Beliau dan kaumnya berasa bahawa penampilan itu mampu menyembunyikan kejelekan diri mereka yang sebenar.
Tetapi di dalam sambungan ayat ini, Allah memberikan ungkapan yang sangat tepat tentang hakikat mereka ini:
"Sedangkan mereka itu tidak ubah seperti kayu reput yang tersandar di dinding" [Al-Munafiqun: 4]
Ada manusia yang tersalah memandang, menyangkakan bahawa kayu itulah yang menampung tegaknya dinding. Hakikatnya kayu itu langsung tidak mempunyai sebarang makna. Tersandar menunggu reput dimamah hari.
Di dalam sepotong hadith sahih yang lain, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bersabda, "seorang lelaki berdosa yang bertubuh sasa di dalam hidup, tidak mempunyai sebarang nilai pada timbangan Akhirat walaupun pada kadar seekor nyamuk."
Lalu Baginda membacakan firman Allah:
"Mereka orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang nilai di Akhirat nanti pada timbangannya" [al-Kahf : 105]
Abdullah ibn Mas'oud merupakan seorang lelaki yang dhaif pada tubuh badan. Pada suatu hari salah satu kakinya tersingkap hingga kelihatan betapa kurusnya kaki beliau. Sebahagian sahabat yang melihatnya ketawa. Lalu Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bersabda, "Kamu mentertawakan kakinya yang kurus, tetapi aku bersumpah demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kaki-kaki itu lebih berat di Akhirat nanti berbanding Gunung Uhud!"
Sidang Jemaah sekalian,
Usaha untuk melahirkan manusia yang memiliki jati diri sejati di era ini adalah suatu cabaran yang sangat besar. Setiap anak yang lahir, mereka memiliki fitrah dan potensi yang sama. Akan tetapi ramai yang terjebak ke kancah kesilapan apabila membiarkan kemewahan dan kesenangan hidup merosakkan potensi ini hingga menjejaskan personaliti mereka.
Kembali kepada persoalan utama, apakah tindak tanduk kita yang membunuh potensi itu, dan apakah tindak tanduk kita yang boleh membangunkan potensi berkenaan?
Di mimbar Jumaat ini, kita rumuskan beberapa amalan yang terdapat di dalam Islam, khusus untuk membina jati diri anak-anak kita agar mereka membesar dengan nilai peribadi dan kematangan yang optimum:
Pertama: Gelaran
Di dalam Sunnah, banyak dipaparkan contoh bagaimana anak-anak diberikan gelaran Abu oleh Rasulullah sallaahu 'alayhi wa sallam. Biar pun kanak-kanak ini masih kecil, tetapi gelaran Abu itu menyuntik nilai kedewasaan pada anak-anak ini.
Anas bin Malik radhiyallaahu 'anhu menceritakan bagaimana beliau mempunyai seorang adik yang masih kecil, baru sahaja belajar menjamah makanan pejal. Dia digelar Abu Umair. Apabila adiknya ini ada bersama Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam akan berkata, "Wahai Abu Umair, apa yang Nughair sedang lakukan?" (Nughair itu adalah seekor burung kecil yang sering menjadi permainan Abu Umair itu). [Hadith riwayat al-Bukhari]
Di dalam amalan kita yang mungkin penggunaan gelaran Abu atau Ummu itu agak janggal, terdapat amalan yang biasa dilakukan dengan motif yang sama. Anak-anak diberikan gelaran Abang Long atau Yop, Uda, Alang dan lain-lain, yang mana penggunaan gelaran ini kepada anak-anak membantu mereka untuk cepat berasa dewasa dengan sifat keabangan dan tanggungjawab.
Amalan seperti ini harus diteruskan dan hindarkanlah memberi gelaran yang membantutkan rasa kedewasaan anak-anak ini seperti Anje, Bucu, Boboy atau Adik kepada anak yang sudah sepatutnya dewasa dan menggalas tanggungjawab kehidupan.
Kedua: Membawa Anak-anak ke Majlis Orang Dewasa
Amalan ini juga membantu mendedahkan anak-anak kepada alam dewasa dan meningkatkan daya fikiran mereka. Ini merupakan amalan Sahabat-sahabat Nabi. Mereka sering membawa anak untuk hadir bersama di dalam majlis mereka bersama dengan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.
Muawiyah ibn Qarrah meriwayatkan daripada bapanya bahawa Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam apabila duduk bersama para sahabat, setiap seorang mereka akan membawa anak masing-masing yang mana anak-anak itu akan berdiri di belakang bapa mereka, lalu si bapa akan mendudukkan si anak di hadapannya. [Hadith riwayat al-Nasaa'ie]
Di dalam kehidupan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam dan para Sahabat, kehadiran anak-anak di dalam majlis mereka tidak pernah dianggap sebagai gangguan, malah anak-anak itu dibawa oleh ibu bapa dengan matlamat yang sama, mendedahkan anak dengan majlis orang dewasa untuk mendewasakan mereka.
Ketiga: Mengiktiraf Anak-anak di Khalayak
Sahl ibn Sa'id menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam di dalam satu majlis, baginda dibawakan cawan untuk minum. Di kanan baginda ada seorang kanak-kanak manakala yang dewasa berada di sebelah kiri. Selepas Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam minum, baginda bertanya kepada kanak-kanak itu, "apakah kamu benarkan aku beri cawan ini kepada orang-orang dewasa sebelum aku berikannya kepada kamu?" Kanak-kanak itu menjawab, "aku tidak akan mengalah dengan hakku untuk minum sejurus selepasmu." Lalu Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam memberikan cawan itu kepadanya. [Hadith riwayat al-Bukhari]
Kita sebagai ibu bapa dan orang yang dewasa harus menggalakkan perbuatan-perbuatan seperti ini, melayan anak-anak ini sesekali sebagai manusia dewasa untuk menimbulkan rasa tinggi harga diri pada diri mereka.
Di dalam sebuah hadith, Anas bin Malik radhiyallaahu 'anhu menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam melalui sekumpulan kanak-kanak lalu baginda memberi salam kepada mereka. [Hadith riwayat Muslim]
Jangan sekali-kali memalukan anak-anak dengan memarahi atau menghina mereka di hadapan orang ramai kerana ia akan membunuh keyakinan diri dan menimbulkan dendam yang merosakkan emosi. Anak-anak, biar pun pada usia yang kecil sudah mempunyai harga diri yang mesti dihargai, khususnya oleh ibu bapa mereka sendiri.
Keempat: Mengajar Mereka Sukan Lasak
Abu Umamah ibn Sahl radhiyallaahu 'anhu meriwayatkan bahawa Umar al-Khattab radhiyallaahu 'anhu menulis kepada Abu ‘Ubaidah al-Jarrah radhiyallaahu 'anhu mengarahkan kepadanya, "ajarkanlah anak-anak kamu berenang" [riwayat Ahmad di awal Musnad 'Umar al-Khattab]
Anak-anak perlu didedahkan dengan sukan-sukan yang boleh meningkatkan semangat, kekuatan jiwa dan daya survival diri mereka. Malah dalam kehidupan seharian, anak-anak yang lelaki harus diajar membuat kerja yang kasar sesuai dengan kemampuan mereka seperti membasuh kereta, berkebun, mengecat, bertukang dan lain-lain aktiviti di bawah matahari untuk meningkatkan kelasakan mereka.
Kelima: Menghindarkan Anak-anak Lelaki Daripada Elemen Keperempuanan
Anak-anak lelaki wajar dihindarkan daripada aktiviti-aktiviti yang lazimnya dekat dengan naluri dan jiwa perempuan. Memakaikan anak-anak dengan pakaian yang berwarna atau bercorak seperti perempuan, memakai sutera dan barang kemas, bergelumang dengan muzik yang lembik biar pun ia nasyid dan hal-hal lain yang mengurangkan kelasakan anak-anak ini hendaklah dihindarkan.
Keenam: Memberikan Tugasan dan Berkongsi Rahsia Dengan Kanak-kanak
Anas bin Malik radhiyallaahu 'anhu menceritakan, "Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam datang kepadaku ketika aku sedang bermain dengan kanak-kanak yang lain, baginda memberi salam kepadaku dan menghantar aku ke suatu tugasan pendek. Ia telah melewatkan aku pulang kepada ibu.
Apabila aku tiba di rumah, ibuku bertanya, "apakah yang telah melewatkan kamu?".
Aku menjawab, "Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah menghantar aku ke suatu tugasan".
Ibuku bertanya, "Tugasan apakah itu?".
Aku menjawab, "Ia adalah rahsia!".
Ibuku berkata, "jangan ceritakan rahsia Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam kepada sesiapa" [Hadith riwayat Muslim]
Ketujuh: Menghindarkan Anak-anak Daripada Tenggelam Dengan Kemewahan
Ibu bapa biar pun berada dan hidup mewah, mestilah mengenakan beberapa kesusahan kepada anak-anak sebagai latihan untuk membentuk jati diri mereka. Jika anak mahukan basikal, biar pun ibu bapa mampu membelikannya, anak wajar disuruh mengumpul duit sendiri agar mereka belajar menghargainya dan belajar berusaha.
Umar al-Khattab radhiyallaahu 'anhu pernah berkata,
"Kuatkan semangat. Kesenangan dan kemewahan tidak kekal selama-lamanya"
Demikianlah sebahagian daripada pendekatan Islam dalam mendidik anak-anak agar mereka membesar dengan jati diri dan nilai kejantanan yang besar. Buku seperti Pendidikan Anak-anak di Dalam Islam karangan Sheikh Abdullah Nasih 'Ulwan dan yang seumpama dengannya harus berada di tangan ibu bapa untuk mereka membesarkan anak-anak hebat, sebagaimana Allah mengurniakan mereka di permulaan kehidupan dengan kehebatan yang sama.
Sesungguhnya masa depan ummah ini bermula daripada apa yang berlaku di setiap rumah.
Berperananlah, seperti yang telah diperintahkan Allah.
No comments:
Post a Comment